Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) kepada penerima sambil disaksikan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), Gan Pei Nei (kiri). Foto Facebook Yawas
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Negeri sedia pelbagai program, bantuan untuk anak istimewa

SHAH ALAM, 25 JULAI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) mempelawa ibu bapa atau individu yang mempunyai anak istimewa supaya memohon bantuan Anak Istimewa Selangor (Anis) yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Pengurus besanya Gan Pei Nei berkata Selangor negeri pertama yang mewujudkan satu jabatan khas untuk menguruskan pelbagai program bagi memastikan keperluan anak istimewa sentiasa terpelihara.

“Jadi ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan sesiapa yang memerlukan bantuan diminta melayari www.anisselangor.com untuk mengetahui lebih banyak mengenai Anis.

“Kita harap dengan inisiatif yang diadakan di bawah Anis ini dapat membantu lebih ramai anak istimewa dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan di negeri Selangor,” katanya menerusi video di Facebook.

Pada 21 April lalu, EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan seramai 692 anak istimewa dibantu Kerajaan Negeri menerusi peruntukan RM1.3 juta bagi tahun 2021.

Kerajaan Negeri meneruskan program Bantuan Khas Anis dan Didik Anis bagi tahun 2022 dengan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.


Pengarang :