SHAH ALAM, 28 JULAI: Seramai 200 usahawan berpeluang menerima bimbingan e-dagang daripada pakar secara percuma di Jelajah Usahawan Digital Selangor di Kuala Selangor pada 6 Ogos.
Jelajah anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) yang memasuki siri keempat itu bertujuan memberi pendedahan kepada peniaga luar bandar mengenai perniagaan dalam talian.
Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berharap usahawan sekitar Kuala Selangor yang ingin melebarkan perniagaan ke arah digital mengambil peluang berkenaan.
“Kami mencari 200 peniaga yang ingin mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian untuk sama-sama menyertai jelajah ini,” tulisnya di Facebook hari ini.
Selain Hijrah, jelajah berkenaan turut membawa pakar-pakar industri e-dagang lain antaranya Lazada, Shopee, TouchnGo eWallet, Express Malaysia, PGMall, EasyStore, Shopline, dan PayHalal.
Jelajah yang dijadual berlangsung di Dewan Dato’ Hormat, Tanjung Karang bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.
Untuk maklumat lanjut, peniaga berminat boleh melayari www.sidec.com.my/jelajahusahawandigitalselangor/