EXCO Pertanian Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tingkat hasil pengeluaran, lebih RM136 juta dibelanja laksana tani moden

SHAH ALAM, 28 JULAI: Lebih RM136 juta dibelanja Kerajaan Selangor bagi melaksana pelbagai inisiatif dan insentif pemodenan pertanian di negeri ini sejak 2018 hingga kini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata usaha tersebut meliputi projek tanaman padi, kelapa, kelapa sawit dan sayuran selain insentif berbentuk peralatan dan input pertanian.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut lebih RM52 juta dibelanjakan untuk program Pemodenan Pertanian Anjung Utara di Kuala Selangor dan Sabak Bernam serta insentif berbentuk peralatan dan input pertanian.

“Untuk insentif tanaman padi, kita beri benih padi, baja organik dan melaksana profil tanah sawah bagi mengenal pasti tahap kesuburan tanah.

“Kita juga mendapati antara punca utama penurunan keluaran padi di kawasan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut itu adalah rawatan tanah yang kurang menyerlah,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin berhubung Pemodenan Pertanian Anjung Utara Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berkata kerjasama turut dijalin dengan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan hasil padi menerusi Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di kawasan lebih 2,000 hektar sejak suku kedua 2021.

“Usaha ini juga bagi mempertingkatkan agro pertanian dan agro pelancongan di Sabak Bernam sebagai kawasan kluster agro pertanian dan agro pelancongan di Negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga memperluaskan program Selangor Smart Agro Park kedua di kawasan Sungai Air Tawar melibatkan 48.5 hektar bermula suku terakhir tahun ini bagi projek tanaman sayur, nenas dan projek pengeluaran benih kelapa matang,” katanya.

“Selain itu, projek penanaman betik Selangor Tropikal Papaya juga dijalankan di Sungai Air Tawar bagi pengeluaran benih dan buah yang dilancarkan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin pada 2 Jun,” katanya.


Pengarang :