Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis pil Yaba dan heroin bernilai RM220,000 yang dirampas hasil penahanan dua suspek pengedar di Pasir Mas dalam Ops Tapis Sempadan pada 21 dan 22 Julai lalu, ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada 24 Julai 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengedar ditahan bersama 100 botol dadah disyaki heroin bernilai RM200,000

KOTA BHARU, 24 JULAI: Polis menahan seorang lelaki bersama 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek yang berumur 23 tahun dikesan dalam Ops Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.36 pagi di dalam kedai berkenaan.

Bercakap kepada pemberita dalam persidangan media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini beliau berkata polis menemukan satu beg plastik hitam pada tangan kiri suspek yang mengandungi 100 botol lutsinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.

Sementara itu menurutnya Khamis lepas polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah pada 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.

Beliau berkata suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Muhamad Zaki berkata Ops Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai lepas di daerah-daerah bersempadan dengan Thailand, telah membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan, di samping merampas dadah bernilai RM230,165. – BERNAMA


Pengarang :