Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abas ketika sidang media taklimat perancangan PKNS 2022 di Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, Shah Alam pada 26 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

PKNS wujud pasukan khas pantau kerja binaan secara teliti

SHAH ALAM, 28 JULAI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mewujudkan pasukan khas untuk memantau kerja kontraktor, perunding dan syarikat penswastaan di tapak pembinaan secara teliti.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat itu juga menambah baik strategi pelan pemulihan bagi mengurangkan bebanan aliran tunai antaranya konsep pembangunan hartanah secara jual dan bina.

Menurut Dato’ Mahmud Abbas, PKNS juga sentiasa memastikan pengurusan risiko dilakukan secara komprehensif bagi mengelakkan perkara berbangkit daripada terus berulang.

“PKNS sentiasa menjunjung prinsip semak dan imbang serta mengambil serius amalan terbaik tadbir urus korporat dalam setiap proses kerja bagi memastikan produk hartanah PKNS berkualiti, selamat dan selesa untuk semua pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung kelemahan pengurusan projek pembangunan hartanah kediaman PKNS.

Mahmud menambah pihaknya memandang serius teguran tersebut dan telah memberi maklum balas kepada keseluruhan penemuan yang direkodkan dalam laporan itu.


Pengarang :