Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Rancangan Selangor Satu rangkum kebajikan rakyat, tingkat perkhidmatan awam

SHAH ALAM, 9 JULAI: Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang bakal dibentang bulan ini merangkumi pelbagai aspek bermula daripada kebajikan rakyat sehingga meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata terdapat empat prinsip dalam RS-1 iaitu ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus bagi menjayakan agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

“RS-1 ialah dokumen pertama seumpamanya untuk memenuhi keperluan rakyat Selangor dan membina daya tahan kukuh dalam mendepani cabaran masa hadapan dalam persekitaran yang semakin kompleks,” katanya menerusi Twitter.

Menerusi poster dikongsikan Amirudin di Twitter, prinsip ekonomi bertujuan mengukuhkan status Selangor selain memastikan negeri itu menjadi tumpuan utama pelaburan di Malaysia dan Asia.

Manakala, prinsip sosial pula memfokuskan Selangor sebagai sebuah negeri pilihan masyarakat untuk didiami dengan penyediaan peluang pekerjaan dan pelbagai teknologi digital.

Prinsip kelestarian pula memberi tumpuan kepada memelihara dan memulihara alam sekitar sekali gus memastikan Selangor berjaya mencapai ke arah negeri rendah karbon.

Selain itu, prinsip tadbir urus pula adalah mengubah perkhidmatan awam kepada organisasi yang lebih moden, berwawasan dan berpaksikan rakyat.

Khamis lalu, bertempat di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Amirudin hadir melancarkan Majlis Simposium Prapelancaran RS-1 2021-2025.


Pengarang :