Allahyarham Ahmad Lutif Othman.
AGENDANASIONAL

MB rakam takziah atas pemergian bekas ketua editor Harakah

SHAH ALAM, 9 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Lutif Othman atas pemergian bekas ketua pengarang Harakah pagi ini.

“Inalillahwainailaihirajiun. Menerima khabar dukacita, sahabat saya Ahmad Lutfi Othman meninggal dunia pagi ini.

“Seorang penulis yang berbakat, merakamkan sejarah liku-liku perjuangan semasa awal tercetus Reformasi. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Ahmad Lutif meninggal dunia ketika di hospital ketika menjalani rawatan untuk beberapa komplikasi kesihatan.

Menerusi hantaran di Facebook, isterinya Siti Hawa Samsam berkata Ahmad Lutfi meninggal dunia pada 2.10 pagi di Hospital UiTM Puncak Alam, beberapa jam selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-59.

Ahmad Lutfi menjadi wartawan dan editor selama lebih tiga dekad dengan pelbagai pihak menyifatkan tulisannya sebagai suara utama ketika era reformasi.

Beliau dikenali sebagai ketua editor lidah rasmi PAS, Harakah dengan mengetuai sidang editorial pada 1987 hingga 1992 dan 2006 hingga 2015 sebelum menyertai Malaysia Dateline, lidah rasmi Parti Amanah Negara.


Pengarang :