Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Ceramah Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ, Hulu Kelang pada 30 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RUU antilompat parti langkah rasional demi pertahan kestabilan negara

AMPANG, 31 JULAI: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 mengenai larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti adalah langkah rasional demi mempertahankan kestabilan negara.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kestabilan negara perlu demi mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Siapa tak marah jika digagalkan dengan lompat parti, tinggalkan perjuangan untuk bersama musuh yang kita kalahkan. Janji hendak buat perubahan reformasi tetapi dapat kuasa lupakannya.

“Tetapi kita bersikap positif dan buat gencatan senjata dengan menandatanganinya. Hendak lakukan perubahan tidak boleh buat sekelip mata dan dalam tempoh 24 jam, perlu ada strategi.

“Kalau kita berjaya, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bangun lagi seperti di Selangor. Ini bermakna kalau HARAPAN (Pakatan Harapan) atau mana-mana kerajaan lain menang, Umno sukar bangun semula kerana mereka hanya buat misi nak pecah belahkan dengan bangkitkan isu kaum dan agama,” katanya.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berucap pada Ceramah Jelajah HARAPAN Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ, Jalan AU5 Lembah Keramat di sini, malam tadi.

Naib Presiden KEADILAN itu juga berkata pihaknya sedar pada masa kini keresahan rakyat terhadap politik.

“Namun, jangan kita boikot kerana akhirnya akan beri kemenangan kepada mereka yang zalim. HARAPAN di Selangor dan seluruh Malaysia ingin bersama rakyat meneruskan reformasi.

“Ini bagi melaksanakan perubahan dan melengkapkan segala yang tertangguh kerana pengkhianatan dilakukan pada 2020,” katanya.


Pengarang :