Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Saifuddin Nasution Kongres Nasional ke-16 Keadilan di Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 17 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saifuddin seru taat presiden, Anwar terbuka terima pandangan ahli

SHAH ALAM, 17 JULAI: Ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diseru untuk terus taat kepada presiden, malah Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terbuka untuk menerima pandangan.

Setiusaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata dakwaan kononnya Anwar tidak boleh dikritik adalah tidak tepat namun ia perlu berlangsung secara beradab.

“Anwar ini bukan tak boleh ditegur, dikritik. Ini pandangan tak tepat. Sosok ini sangat terbuka untuk diserang, ditegur tetapi mesti dengan cara berakhlak, beradab dan sopan.

“Hormat pemimpin juga atas dasar usia, pengalaman dan pengorbanan. Ini bukan membodek tetapi rasa hormat kena ada,” katanya sebelum pembubaran Majlis Pimpinan Pusat penggal 2018/2021 hari ini.

Berucap di pentas Kongres Nasional ke-16 KEADILAN hari ini, Saifuddin turut meminta semua ahli bergerak sebagai satu pasukan yang mantap bawah pimpinan baharu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pimpinan baharu untuk menggunakan kuasa yang ada bagi mengekalkan lagi keutuhan solidariti dalam kalangan ahli.

“Waktu kita kalah (tidak berkuasa), ukhwan kita mantap. Hormat antara anggota, pemimpin. Adab tertib, sopan, berakhlak.

“Ujian kemenangan lain. Kita pandang orang lain dengan syak wasangka. Serang sesama sendiri. Bila berbeza pendapat, kita lawan lebih dari musuh hingga layan pemimpin tanpa ada rasa sopan,” katanya.

Bertemakan ‘Menjulang Keadilan’ kongres tiga hari sejak Jumaat bakal melabuhkan tirainya petang ini. Kongres kali ini menyaksikan lebih 2,000 perwakilan mengambil bahagian selepas tidak dapat berbuat demikian tahun lalu akibat penularan Covid-19.


Pengarang :