Salah seorang daripada 29 pelajar Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Anis) menyertai lawatan sambil belajar ke Sunway Midlife Park, Sunway Lagoon pada 9 Jun 2022. Foto Jabatan Anis
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan percuma kesan anak lambat cakap dalam tiga jam

SHAH ALAM, 19 JULAI : Program saringan percuma anjuran Jabatan Anak Istimewa Selangor (Anis) membantu ibu bapa diagnosis anak yang mempunyai masalah lambat bertutur dalam tempoh tiga jam.

Ketua Jabatan Anis Danial Al-Rashid Haron berkata inisiatif tersebut amat membantu ibu bapa yang perlu menunggu antara enam hingga 12 bulan jika membuat janji temu di hospital kerajaan.

“Kehadiran ibu bapa ke program saringan ini amat memberangsangkan kerana rata-rata mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengenal pasti masalah anak di peringkat awal usia.

“Sejak program Saringan dan Pengesahan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas di Selangor diwujudkan, kita menerima lebih 80 pendaftaran manakala yang sudah disaring seramai 16 orang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, Anis giat mempromosi program itu memandangkan statistik pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masih jauh daripada sasaran iaitu 15 peratus daripada populasi ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Setiap program dihadiri doktor pakar kanak-kanak termasuk empat juruterapi pelbagai bidang bagi membantu membuat saringan serta mengesahkan masalah anak tersebut,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa atau penjaga yang berminat menyertai program tersebut boleh mengisi maklumat menerusi pautan https://www.anisselangor.com/saringan atau menghubungi 03-5545 3170 (Pusat Anis).


Pengarang :