Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (hadapan, tengah) bergambar bersama peserta selepas program Hala Tuju Membentuk Naratif Pembangunan Masyarakat India Malaysia di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 3 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor tambah peruntukan rumah ibadat masyarakat India tahun depan

KLANG, 3 JULAI: Kerajaan Selangor memberi jaminan peruntukan rumah ibadat masyarakat India di negeri ini akan ditambah tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semakan mendapati dana disalur kepada kuil oleh kerajaan negeri lain mengatasi jumlah sedia ada yang diperuntuk pentadbiran Selangor.

“Kita sebenarnya yang merintis peruntukan untuk rumah ibadat di Selangor sejak 2008, tetapi selepas disemak rupanya negeri lain sudah mula mengatasi peruntukan tersebut.

“Dengan itu, saya jamin Belanjawan Selangor 2023 kita akan tingkatkan (peruntukan) rumah ibadat masyarakat India. Paling tidak hampir sama dengan (peruntukan rumah ibadat) masyarakat lain,” katanya.

Beliau berucap pada program hala tuju membentuk naratif pembangunan masyarakat India di Malaysia di Hotel Wyndham Achmar dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj.

Sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah Selangor pada 2008, peruntukan rumah ibadat bukan Islam berjumlah RM3 juta setahun sebelum dinaikkan kepada RM6 juta enam tahun kemudian.

Sementara itu, Amirudin mengakui banyak inisiatif dimulakan Kerajaan Selangor menjadi ikutan negeri lain dan menuntut komitmen semua pihak untuk mencari formula baharu.

“Sekarang hampir beberapa buah negeri ikut formula kita. Namun setelah beberapa tahun, saya rasa kita perlu semak semula adakah cukup atau adakah bermakna dan apa lagi yang harus ditambah.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu hanya mengulang strategi dibuat oleh BN (Barisan Nasional). Habiskan (peruntukan) di kuil, kemudian membangkitkan tentang isu kuil dan selepas habis pilihan raya umum (PRU) habis isu tersebut,” katanya lagi.


Pengarang :