Sukarelawan Selangor menggali parit bagi memudahkan kerja membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Sukarelawan gali parit buang lumpur tebal rumah mangsa bah di Baling

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pasukan sukarelawan negeri berdepan kesukaran membersihkan rumah mangsa bah di Baling, Kedah berikutan lumpur tebal di dalam dan luar premis.

Anggota Sukarelawan Selangor (SERVE) Aly Idham Alykallam, 34, berkata mereka perlu membuat parit di pekarangan rumah untuk mengeluarkan lumpur sebelum membersihkan kediaman.

Aly Idham Alykallam

“Rumah kampung tiada sistem saliran seperti kawasan perumahan dan menyukarkan kerja buang lumpur. Jadi, kami perlu bina parit supaya ada laluan air dan lumpur.

“Untuk bina parit ambil masa sejam dengan kerjasama sukarelawan pihak berkuasa tempatan. Sekiranya penuh, kami terpaksa gali untuk dalamkan lagi untuk aliran air keluar,” katanya kepada Selangorkini.

Muhammad Hafizi Mat Jalani, 31, pula menjelaskan pembersihan kediaman mangsa agak mencabar kerana banyak barang termasuk kenderaan tidak dapat diselamatkan.

“Banjir berlaku secara mengejut hingga mangsa tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Ketika sampai, mangsa sudah angkat barang kerana air mula surut.

“Sejurus tiba, kita bantu angkat barang-barang dan bersihkan lumpur kerana masuk ke rumah pada paras atas buku lali,” katanya.

Muhammad Hafizi Mat Jalani

Seramai 263 anggota pelbagai agensi diketuai EXCO Pembangunan Generasi Muda Khairuddin Othman ke Baling, Kedah selama dua hari sejak semalam bagi membantu mangsa banjir.

Sebanyak 33 jentera dan 112 alatan dibawa ke Kampung Sadek, Kampung Tanjung Merbau, Kampung Jerai, Kampung Tanjung Kupang dan Kampung Seberang Jaya bagi menjayakan operasi antaranya pacuan empat roda, van, lori RoRo dan lori tipper.

Dalam kejadian pada petang 6 Julai, tiga orang termasuk ibu hamil maut manakala ratusan penduduk terjejas berikutan banjir akibat fenomena kepala air.

Sukarelawan Selangor membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :