DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (kanan) bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (kiri) berkenan menonton filem Mat Kilau baru-baru ini. Turut kelihatan pelakon Fattah Amin (dua, kanan) dan isteri Nur Fazura Sharifuddin (dua, kiri). Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Tunjuk teladan agar kaum lain hormat, hayati dialog filem Mat Kilau

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pemimpin Melayu yang gagal menunjukkan kepimpinan baik dan bertanggungjawab boleh menyebabkan kaum lain hilang hormat sekali gus tidak memberi sokongan padu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah mereka juga perlu bekerjasama dengan parti politik pelbagai kaum bagi menjamin pembangunan negara dan keselesaan hidup rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah pembangunan dan kemajuan sesebuah negara amat bergantung kepada kepimpinan stabil di samping tidak berbalah sesama sendiri.

“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat sekali gus tidak akan memberi sokongan padu,” titah Baginda dalam kenyataan hari ini.

“Di samping mengamalkan sikap kepimpinan baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.”

Baginda turut menitahkan pemimpin politik Melayu menghayati dialog filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan kaum boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai negara.

Titah Baginda, karya tersebut juga bertepatan mesej bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak pada semangat perpaduan dan pegangan agama Islam yang utuh.

“Beta menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu untuk menonton filem ini agar ia boleh dijadikan teladan dan pengajaran kepada kita semua.

“Sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya kita tidak bersatu-padu dan bekerjasama dalam mempertahankannya,” titah Sultan Selangor.


Pengarang :