SHAH ALAM, 15 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengunjungi tujuh keluarga asnaf yang menghidap sakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan yang terlantar di sekitar Kuala Selangor semalam.
Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan, ketika sesi ziarah berkenaan asnaf terbabit turut menerima sumbangan makanan dan keperluan harian lain.
“Alhamdulillah, dengan cara ini dapatlah pihak kami mengetahui dengan lebih dekat permasalahan dan keperluan mereka.
“Setakat ini, segala keperluan asnaf masih diteruskan seperti bantuan kewangan, makanan bulanan, bantuan pendidikan, bantuan hari raya dan perubatan,” katanya.
Turut hadir menziarahi asnaf Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sg Tengi Kanan, nazir masjid, ketua kampung dan barisan penolong amil kariah.
LZS turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat dan sumbangan mereka akan disalurkan terus kepada pihak yang memerlukan.