Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis penyerahan surat niat kepada Malaysia Resources Corporation Berhad untuk pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di foyer pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri pada 15 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

MB balas Najib, ‘tambah baik Stadium Bukit Jalil RM1 bilion’

SHAH ALAM, 15 JULAI: Dato’ Menteri Besar menyifatkan kritikan Dato’ Seri Najib Razak terhadap dakwaan Kerajaan Selangor gagal menjalankan kerja penyelenggaran Stadium Shah Alam sebagai memakan diri.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan bekas perdana menteri itu meluluskan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi menambah baik Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 2017.

Beliau berkata stadium berkenaan yang siap pada 1998, empat tahun lewat berbanding Stadium Shah Alam, diperbaharui antara 2016 sehingga 2017 untuk menjayakan penganjuran Sukan SEA.

“Ada pihak menganggarkan bahawa kenapa setelah 14 tahun, kita terpaksa bina semula atau selenggara (stadium) dengan kos begitu tinggi. Ia tuduhan (untuk) menunjukkan ketidakmampuan kita mengurus.

“Stadium Shah Alam siap dibina pada 1994, manakala Stadium Nasional Bukit Jalil 1998. Pada 2016 sehingga 2017, Stadium Nasional Bukit Jalil telah ditambah baik.

“Pada masa itu, Najib perdana menteri. Kalau hujah Najib dibandingkan dengan kita hari ini, ia seolah-olah menghina dirinya sendiri kerana luluskan peruntukan (RM1 bilion),” katanya dalam majlis penyerahan surat niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk menaik taraf stadium itu.

Stadium Nasional Bukit Jalil dibangunkan untuk penganjuran Sukan Komanwel pada 1998 sebelum mengalami pelbagai kerosakan dan kerja naik taraf dijalankan pada 2015 untuk acara Sukan SEA,

Menyatakan RM5 juta diperuntuk setiap tahun untuk kerja baik pulih, Amirudin menjelaskan Kerajaan Negeri yakin lebih baik membangunkan semula stadium dengan kos yang hampir sama dengan belanja baik pulih.

Jumaat lalu, Najib mempersoal kemampuan Kerajaan Selangor yang dianggapnya gagal menyelenggara Stadium Shah Alam hingga mengakibatkan premis itu rosak dan uzur.


Pengarang :