Ahli Dewan Negeri bertafakur dan memberi penghormatan kepada bekas Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, SUK Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

ADN: Abdul Khalid pemimpin dihormati, sering pesan jaga amanah, utamakan rakyat

SHAH ALAM, 1 OGOS: Pengalaman enam tahun selaku EXCO bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendidik Rodziah Ismail untuk sentiasa menjaga amanah dan tanggungjawab.

Ahli dewan negeri Batu Tiga itu menyifatkan Allahyarham juga sebagai ketua yang amat dihormati dan sering mengutamakan rakyat dalam apa jua perkara.

Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Beliau bukan sahaja pemimpin yang hebat tetapi sering menjadi guru dan mendidik kami untuk membuat dasar baik kepada rakyat.

“Kehilangan beliau merupakan satu permata dan akan dikenang. Yang penting jangan kita mengkhianati segala apa yang sudah Allahyarham pesan kepada kita selama ini,” katanya menahan sebak ketika ditemui pada majlis penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Manakala, wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi pula
menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang berintegriti tinggi yang wajar dicontohi.

Menurutnya, lebih enam tahun pentadbiran Abdul Khalid sebagai Dato’ Menteri Besar menyaksikan Selangor mencatat pelbagai perubahan terutama daripada segi dasar ekonomi sehingga berjaya mencatat rizab simpanan tertinggi.

ADN Kota Anggerik Najwan Halimi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Tan Sri ketika itu sebagai pegawai di pejabat penasihat ekonomi Selangor, banyak perkara yang dapat dipelajari.

“Sacara peribadi saya berasa amat sedih dengan pemergian beliau, salam takziah diucapkan kepada keluarganya dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya.

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur akibat jangkitan pada injap jantung.

Atas titah dan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, jenazah disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor meninggalkan seorang isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak serta dua cucu.


Pengarang :