AMPANG, 20 OGOS: Kerajaan Selangor sudah memulakan pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED), sistem solar dan perumahan air hujan (SPAH) di perumahan strata.
EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata pemasangan segera sistem solar dan lampu itu membantu pengurangan pelepasan karbon selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“Pemasangan telah bermula dengan aktif dan banyak Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) terpanggil untuk mendapatkan perkhidmatan ini.
“Peruntukan pemasangan ini memperuntuk RM400 juta pada 2025 dan tiada ketetapan jumlah lampu kerana ia bergantung pada unit blok setiap bangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Serahan Sumbangan Penyelaras Parlimen Ampang di Masjid Ukay Perdana di sini semalam.
Sebelum ini, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Rodziah memaklumkan kempen pemasangan LED, sistem solar dan SPAH di semua bangunan akan diperluas bagi memerangi perubahan iklim dalam industri hartanah.
Jelasnya, kempen sepanjang lima tahun RS-1 melibatkan bangunan strata kediaman kerajaan pusat dan swasta, bangunan pejabat, hospital, sekolah, kolej, universiti, stadium, pasar, pusat membeli-belah serta kilang.