Kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam dinaiki air hampir satu meter susulan hujan lebat sejak jam 4 petang pada 20 Ogos 2022 .Foto Facebook Nik Syukriah Amin
AGENDANASIONAL

EXCO: Negeri arah JPS segera buka pintu pam Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor segera mengaktifkan sistem dan membuka pintu pam di Taman Sri Muda.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim berkata tindakan itu berikutan kejadian banjir kilat di kawasan Taman Sri Muda dan kawasan sekitarnya susulan hujan lebat petang tadi.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas sesi lawatan jentera perangkap sampah Interceptor 005 di Sungai Klang, Klang pada 4 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya memantau dengan penuh prihatin kejadian banjir kilat yang melanda dan insiden ini berlaku akibat paras air yang tinggi di Sungai Rasau serta situasi air mati yang melambatkan aliran air keluar ke Sungai Rasau.

“Saya telah mengarahkan agar JPS mengaktifkan sistem pam dengan segera dan membuka pintu pam. Malah, pegawai saya juga membuat tinjauan bagi memastikan keadaan segera pulih,” katanya menerusi Facebook.

Izham turut memaklumkan, buat masa ini air telah mula surut di kawasan yang dinaiki air.

“Mohon penduduk sekitar agar berhati-hati dan segera laporkan jika ada kejadian yang tidak diingini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan kawasan Taman Sri Muda mula dinaiki air lebih 0.7 meter susulan hujan lebat sekitar jam 4 petang tadi.

Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan air belum memasuki kediaman.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda seluruh Selangor sehingga jam 9 malam ini.


Pengarang :