SHAH ALAM, 23 OGOS: Hasil pembentangan Persidangan Wanita Selangor (PWS) hari ini akan menjadi kerangka untuk memastikan pelan tindakan pembangunan wanita negeri ini lebih berkesan.
Menurut EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar persidangan itu juga diharap menjadi platform untuk berkongsi hasil kajian selain dapat menambah kenalan.
“Untuk makluman Kerajaan Negeri sedang meneliti dan menilai semula keberhasilan dan keberkesanan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017 –2020.
“Saya harap persidangan ini juga boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan pelbagai idea dan input baharu demi menambah baik pelan tindakan tersebut,” kata Rodziah Ismail.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan tersebut di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
PWS mengangkat tema Cabaran Wanita Pasca Pandemik: Ke Arah Selangor Saksama, Sejahtera dan Inklusif membuka tirai hari ini.
Program hingga Khamis itu membincangkan pelbagai topik merangkumi sektor ekonomi, kesihatan, pendidikan, budaya seni.