Tiga pendatang asing tanpa izin warga Myanmar ditemui dalam but kereta ketika sekatan jalan raya di Persiaran Tun Teja Alam Impian, Shah Alam pada 10 Ogos 2022. Foto ihsan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam
AGENDAJENAYAH

Lelaki ditahan, sorok pendatang asing dalam but kereta dari Kota Bharu ke Klang

SHAH ALAM, 11 OGOS: Perjalanan seorang lelaki menyeludup enam pendatang asing tanpa izin warga Myanmar dari Kota Bharu ke Klang, terbongkar dalam sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Tun Teja Alam Impian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim semua mereka yang berusia antara 18 hingga 36 tahun itu ditahan pada jam 1 tengah hari, lapor portal Kosmo!.

“Semasa penahanan, tiga lelaki berada di bahagian penumpang belakang manakala tiga wanita  dalam but kereta jenis Nissan Teana berwarna hitam. Mereka didapati menempuh perjalanan kira-kira 480 kilometer.

“Siasatan mendapati lelaki tempatan berusia 31 tahun dibayar upah sebanyak RM300 bagi setiap seorang pendatang asing  yang dibawa dari Kota Bharu untuk bekerja di Klang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata pemeriksaan lanjut beg yang dipakai lelaki warga tempatan itu menemui peralatan menghisap dadah dan sebungkus plastik mengandungi 50 biji pil berwarna merah dipercayai pil kuda.

“Suspek warga tempatan itu direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) 2012 manakala enam PATI Myanmar direman selama 14 hari.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


Pengarang :