Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB garis lima nilai untuk jadi bangsa, negara berdaulat

SHAH ALAM, 31 OGOS: Dato’ Menteri Besar menggariskan lima nilai utama yang harus dipegang bagi melangkah ke hadapan sebagai bangsa dan negara berdaulat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ciri pertama adalah rakyat perlulah menjadi kelompok masyarakat yang mempertahankan persaudaraan manusiawi.

“Krisis yang melanda dan menimpa kita sebelum ini meninggalkan satu pengajaran yang berguna buat semua, ia tidak mengenal warna kulit, rupa, latar belakang dan daripada mana kita berada.

“Semangat persaudaraan manusiawi inilah harus kita gembleng dan pertahankan kerana ia membentuk perpaduan dan muafakat,” katanya pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam malam tadi.

Ciri kedua yang penting dalam meningkatkan semangat kepada warga Selagor, kata Amirudin adalah kewibawaan dan kecekapan.

Katanya, ini bagi memastikan Selangor dipandang tinggi dengan mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik.

“Ciri ketiga kita menekankan nilai kesaksamaan inilah yang kita atur selama ini dalam dasar-dasar negeri Selangor. Sebagai contoh membantu sekolah agama, sekolah cina dan sekolah tamil dan tidak ketinggalan semua rumah ibadat dapat hidup harmoni dan selesa hasil kesaksamaan dengan sokongan kita,” katanya.

Amirudin berkata ciri keempat pula ialah masyarakat yang berbudaya serta berilmu yang mana pihaknya menggerakkan budaya yang sihat melalui program berpendidikan.

“Ciri terakhir ialah semangat musyawarah sebagai salah satu elemen demokratik di mana saya berharap ia bukan sahaja diamalkan pada mesyuarat Kerajaan Negeri tetapi juga menyusur ke bawah menyerap dalam nadi masyarakat,” katanya.


Pengarang :