Gelagat si cilik mengibarkan Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai teruja kembali rai Hari Kebangsaan selepas pandemik

SHAH ALAM, 31 OGOS: Orang ramai teruja sambutan Hari Kebangsaan kembali diadakan di Dataran Kemerdekaan di sini selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.

Rata-rata mereka yang ditemui SelangorKini malam tadi tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu masing-masing untuk melihat perarakan kontinjen serta laungan merdeka.

Mohd Rijalludin Jamludin (kiri) bersama keluarga menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pelajar orang kelainan upaya (OKU), Mohd Rijalludin Jamludin, 19, berkata kepenatan mengayuh tayar kerusi roda sejauh lebih satu kilometer menggunakan tangan hilang sebaik sahaja dapat melihat perbarisan.

“Tiap-tiap tahun mesti sambut, jadi bila dah dua tahun tak sambut jadi malam ni wajib datang. Rasa lain bila tak sambut macam kekurangan sesuatu apabila menjelang 31 Ogos.

“Itu yang bersemangat jadi tak kisah sangat kena jauh menolak, rasa berbaloi dapat datang malam ni,” katanya yang ditemani adik-beradik serta anak saudara.

Sementara itu, penghantar barangan, Zakaria Abu Kassim, 35, membawa dua anaknya berusia tiga dan setahun untuk merasai detik kemerdekaan.

Zakaria Abu Kassim

“Sebelum ini Covid-19 jadi ini kali pertama kedua-dua mereka dapat lihat, rasai semangat. Nak semai rasa sayang, cinta negara walaupun usia masih kecil.

“Selain itu rasa berbaloi datang kerana ada jualan ayam, telur RM5 jadi rasa sangat beruntung datang malam ni,” katanya.

Dianggarkan lebih 10,000 Lebih 10,000 menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat negeri yang bermula jam 9 malam.

Sebanyak 59 kontinjen dari pelbagai agensi, jabatan dan unit beruniform terbabit dalam perarakan dan perbarisan.

Penyanyi terkenal Black Hanifah dan Ernie Zakri antara selebriti yang turut memeriahkan program selain beberapa persembahan lain antaranya tarian pelbagai bangsa dan nyanyian koir.


Pengarang :