Pengunjung melakukan aktiviti mendaki di Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 16 Jun 2020 selepas kawasan itu dibuka semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lima sektor dalam RS-1 tingkat kelestarian alam (VIDEO)

SHAH ALAM, 9 OGOS: Usaha menyumbang kepada kelestarian alam menerusi lima sektor tumpuan antara yang ditekankan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang 27 Julai lalu.

Menurut Dato’ Menteri Besar, sektor terbabit meliputi daya tahan dan pengurusan bencana, pengurusan air, negeri rendah karbon, pengurusan sisa serta biodiversiti dan sumber asli.

“Berasaskan keadaan negeri serta global dan hasil kajian terkini, pelbagai inisiatif bakal dijalankan bawah teras tiga RS-1 selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Tema strategik ketiga dalam pelan ekonomi lima tahun itu bagi meningkatkan keutamaan alam sekitar yang lestari berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Amalan Tadbir Urus (ESG).

Antara rancangan dibuat ialah pelaksanaan projek infrastruktur mitigasi banjir meliputi pendalaman sungai, pembinaan dan penaiktarafan tampungan sungai serta kolam.

Turut diberi tumpuan ialah projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) bagi pembersihan dan pemulihan
sungai melalui perangkap sampah dan penggunaan jentera pengutip sampah canggih Interceptor.

Selain pembangunan lestari, RS-1 turut menumpukan pertumbuhan ekonomi, memberdaya rakyat melalui program kebajikan, sistem dan perkhidmatan kerajaan yang cekap, telus serta efisien.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelaksanaan pelan lima tahun RMK-12.

Laporan rasmi dan dokumen lengkap boleh didapati di amirudinshari.com/rs1.

                                                             


Pengarang :