Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan) melihat kemudahan pusat sumber Sekolah Kebangsaan Taman Samudra ketika mengadakan lawatan kerja ke sekolah tersebut di Gombak pada 24 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI komited bantu rakyat susah seiring penganjuran aktiviti seni, budaya

SHAH ALAM, 28 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI komited menyalurkan bantuan serta menganjurkan aktiviti kemasyarakatan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata program dianjurkan MBI merangkumi pelbagai segmen antaranya membantu rakyat susah, memberi sumbangan kepada masjid dan surau, majlis komuniti serta aktiviti seni.

“MBI juga mengambil berat berkaitan perkembangan seni dan budaya di negeri ini supaya industri tersebut terus dimartabatkan.

“Saya ingat lagi ketika Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) menjadi EXCO kebudayaan, belia dan sukan, beliau banyak menganjurkan program-program seni serta budaya.

“Dengan mengambil semangat yang sama, saya cuba mengambil elemen itu pada malam ini dengan menganjurkan program-program CSR untuk rakyat Selangor ,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau berucap pada program Malam Gurindam Shah Alam anjuran MBI yang berlangsung di Blackbox, pusat beli-belah SACC Shah Alam, di sini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan MBI memperuntuk RM18 juta untuk program CSR tahun ini seperti mengadakan aktiviti tetap termasuk ternakan korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat dengan belanja RM6 juta.

Jelasnya, program CSR bergantung kemampuan MBI dan jumlah peruntukannya tidak tetap namun mestilah seimbang dengan infrastruktur.


Pengarang :