Nur Qadrina Emylia Norzali mula menaiki podium pada Kejohanan Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di Terengganu pada 2016. Foto Nur Qadrina Emylia Norzali
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Menang selepas muntah, atlet basikal wanita sasar pingat SUKMA

Oleh Faysal Amani

Nur Qadrina Emylia Norzali nyaris terlepas peluang ke Korea Selatan untuk bersama skuad pelapis berbasikal wanita kebangsaan gara-gara mengalami muntah dan sakit kepala.

Insiden itu berlaku sebelum bermula Kejohanan Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) di Johor pada 2018, ketika anak jati Selangor kelahiran Klang ini berusia 18 tahun.

“Ketika kejadian itu, saya sudah bersedia untuk berlumba namun tiba-tiba mengalami pening dan muntah-muntah, tak pasti apa puncanya. Mungkin salah makan atau sebab-sebab lain.

“Namun memikirkan perlumbaan ini sangat penting untuk terus mendapat peluang dalam skuad pelapis, saya gagahkan diri untuk tetap berlumba.

“Alhamdulillah saya bukan sahaja berjaya menamatkan perlumbaan, malah muncul sebagai pemenang,” kata atlet wanita Selangor itu dalam temu bual bersama Selangorkini baru-baru ini.

Susulan itu, Nur Qadrina Emylia dipilih menjalani latihan intensif di Pusat Berbasikal Sedunia Satelit Korea (WCC-KS) pada tahun sama.

Asal atlet olahraga

Tidak pernah terbayang dalam minda Nur Qadrina Emylia, untuk mewakili negara pada Sukan SEA dalam acara lumba basikal. Ketika di sekolah rendah dan tingkatan satu di sekolah menengah, beliau lebih kerap menyertai pelbagai acara olahraga.

Atas cinta mendalam terhadap olahraga, beliau pernah menanam impian bergelar olahragawati dan menjadi pelari pecut ternama.

Nur Qadrina Emylia Norzali merupakan anak jati Selangor kelahiran Klang bergambar kenangan bersama rakannya. Foto Nur Qadrina Emylia Norzali

Namun, segalanya berubah ketika beliau dalam tingkatan empat. Dia mula berjinak-jinak dengan riadah berbasikal bersama rakan dan keluarga, malah kadangkala menjelajah hingga ke luar daerah berpuluh-puluh kilometer jauhnya.

Tidak lama selepas itu, Nur Qadrina Emylia diperkenal seorang jiran kepada bekas Setiausaha Persatuan Berbasikal Negeri Selangor, Allahyarham Amrun Misnoh.

Sejak itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Klang itu diserap ke skuad wanita berbasikal Selangor. Bermulalah perjalanannya sebagai pelumba.

Dalam JCM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) pada 2016 beliau mula berlumba dalam kategori kriterium tetapi sekadar menduduki tempat kedua terakhir.

Naik podium

Namun, keputusan itu tidak langsung mematahkan semangatnya. Nur Qadrina Emylia terus mengorak langkah dalam sukan itu apabila mula menaiki podium pada JCM di Terengganu pada penghujung tahun sama.

Dia mendapat tempat pertama kategori lebuh raya dan kedua bagi kategori kriterium. Kedua-dua kejayaan itu dicapainya hanya beberapa bulan selepas pertandingan di Maeps.

“Selepas kejohanan di Terengganu, arwah Amrun membawa menyertai satu pertandingan remaja di Bali, Indonesia dan di sana saya dapat satu lagi pengalaman berharga walaupun tidak meraih kemenangan.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya dipilih menyertai skuad pelapis berbasikal wanita negara dan menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil. Tidak sangka semuanya berlaku dengan begitu pantas,” katanya.

Pelajar ijazah sarjana muda pendidikan dan rekreasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi itu terus menyerlah apabila beraksi di Sukan SEA Filipina 2019.

“Ia suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Intensiti perlumbaan sangat tinggi berbeza berbanding saingan peringkat tempatan. Saya tidak memenangi pingat namun perlumbaan di Filipina menambahkan lagi kematangan saya dalam sukan berbasikal,” katanya.

Mengenai SUKMA 2022 di Lembah Klang pada 16 hingga 24 September ini, Nur Qadrina Emylia yang kini fokus perlumbaan trek belum pasti berapa acara bakal disertainya, namun mahu menyumbang pingat buat Selangor.

Bercita-cita menjadi sehebat Datuk Azizulhasni Awang, gadis itu berharap dipilih sekali lagi mewakili negara ke Sukan SEA dengan tekad menghadiahkan pingat untuk Malaysia.

 

Nama Penuh:
Nur Qadrina Emylia Norzali

Umur:
22 tahun

Asal:
Klang, Selangor

Adik beradik:
Anak sulung daripada tiga beradik

Hobi:
Mendengar lagu

Pendidikan:
Ijazah sarjana muda pendidikan dan rekreasi di UKM, Bangi (Tahun 3)


Pengarang :