Suasana sekitar Kebun Komuniti dan Laman Dapur di Seksyen 20, Shah Alam pada 23 Jun 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPSepang anjur anugerah kebun komuniti, galak penduduk guna inisiatif hijau

SHAH ALAM, 9 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menganjurkan program Anugerah Kebun Komuniti@Sepang (AKS2022) bagi menghargai sumbangan penduduk di daerah itu.

Menurut MPS, anugerah itu adalah sebagai galakan kepada komuniti setempat untuk meningkatkan pengetahuan dan lebih berinovasi dalam penghasilan makanan.

“Anugerah ini terbahagi kepada dua kategori iaitu komuniti perumahan dan sekolah (rendah, menengah) serta terbuka kepada semua persatuan penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB), Kelab Rukun Tetangga (KRT), persatuan komuniti, sekolah rendah dan sekolah menengah,” kongsi MPS di Facebook.

Mengulas lanjut, MPS berkata setiap kategori akan dinilai mengikut inisiatif pembangunan kejiranan hijau iaitu pengkomposan, sistem penuaian air hujan (SPAH), kitar semula dan inovasi dalam sistem tanaman.

Selain itu, penilaian adalah berdasarkan kreativiti dalam melaksanakan inisiatif dan inovasi Kebun Komuniti @Sepang khususnya elemen teknologi hijau, impak pelaksanaan kepada penduduk setempat serta keberhasilannya.

Tarikh tutup penyertaan AKS2022 adalah pada 17 Oktober ini dan kebun akan dinilai seawal 1 November depan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian 03-83190200 samb 842 (Hairom Abdul Rasihid) atau 03-83190200 samb 371 (Noorafzan Ali).


Pengarang :