Kitab Pohon Agama dan Kitab Al-Aqidah Al-Sulaymaniyyah
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sutan penyubur pohon iman, karang kitab rujukan pelajar

Prihatin terhadap Islam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah ibni Raja Muda Musa mengarang Kitab Pohon Agama (Bahagian Rukun Iman) bagi memperihal makna iman.

Usaha itu menjadikan Baginda sebagai sultan pertama yang menghasilkan kitab agama. Pemerintah Selangor berkenaan menggariskan kesempurnaan, syarat dan perkara membinasakan iman bagi seseorang muslim.

Semuanya dimuatkan dalam kitab mengandungi 13 bab itu. Penyampaiannya mudah difahami kanak-kanak dan remaja yang dalam proses mendalami ilmu agama Islam.

Karya Sultan Sir Alaeddin dimulakan dengan pendahuluan, bahagian agama dan bahagian Rukun Iman sebelum diikuti bab-bab yang memperinci enam rukun tersebut.

Karangan itu menjadi manifestasi kebijaksanaannya yang sememangnya dikenali sebagai raja yang warak dan menitik berat pendidikan rakyatnya.

Baginda mengarang Kitab Pohon Agama (Bahagian Rukun Iman) selepas menyedari keperluan kitab agama di sekolah-sekolah bagi memudahkan pembelajaran generasi muda pada waktu itu

Kitab yang menekankan akidah berteras Ahli Sunnah wal Jamaah siap pada 1919 dan digunakan sebagai panduan di sekolah agama di seluruh negeri.

Karya Baginda diulang cetak dan diterbitkan sekurang-kurangnya tiga kali. Cetakan ketiga dibuat Mathba’ah New Klang Press, Klang pada 1930.

Sharah Pohon Agama 

Pada 2018, cicit Baginda, Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin menyusun semula kitab itu dengan judul Sharah Pohon Agama Sultan ‘Ala’u al-din Sulayman Shah Ibni Raja Muda Musa.

Buku terbitan Akademi Jawi Malaysia tersebut empat kali diulang cetak – tiga kali pada 2018 dan terakhir pada 2020. Buku setebal 290 halaman terbahagi kepada dua bahagian, rumi dan jawi.

Kitab Pohon Agama

Bahagian awal buku juga dimuatkan ringkasan riwayat Sultan Sir Alaeddin. Baginda digambarkan mempunyai keperibadian yang unggul, disenangi orang sekeliling tetapi tegas dalam hal agama.

Bahagian kedua memuatkan isi kandungan asal Kitab Pohon Agama tulisan Sultan Sir Alaeddin. Pendahuluan bahagian ini ditulis ulama masyhur dalam perkembangan Islam di Selangor iaitu Tengku Mahmud Zuhdi Tengku Abdul Rahman al-Fatani.Tengku Mahmud Zuhdi menyatakan Kitab Pohon Agama ditulis untuk memenuhi keperluan bahan rujukan pelajar di sekolah.

Bahagian ketiga pula memuatkan Sharah Pohon Agama oleh Raja Ahmad Mukhlis yang merupakan huraian daripada Kitab Pohon Agama yang asal. Turut dimuatkan ialah huraian Kitab Pohon Agama asal yang lebih ringkas.

Misalnya dalam bab Keempat Iman: Percaya Kepada Rasul, memuatkan huraian mengenai 25 Rasul bermula Nabi Adam AS hingga ke Nabi Muhammad SAW.

Turut dimuatkan tulisan dalam penyampaian mudah difahami yang membincangkan ciri-ciri perbezaan antara nabi dan rasul. Dalam bab Kelima Iman: Percaya Kepada Hari Kemudian mencatatkan perihal tanda-tanda kiamat kecil dan kiamat besar.

Bahagian terakhir buku berkenaan memuatkan Kitab Pohon Agama dalam tulisan jawi versi asal karangan Sultan Sir Alaeddin.

Kuat agama

Diputerakan pada tanggal 11 September 1865, Sultan Sir Alaeddin membesar dalam persekitaran yang teguh agama di Istana Bandar Temasya, Jugra di Kuala Langat.

Pada 1887, Sultan Selangor ketika itu, DYMM Sultan Sir Abdul Samad ibni almarhum Raja Abdullah melantik cucundanya itu sebagai Raja Muda menggantikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Musa ibni Sultan Sir Abdul Samad yang mangkat pada 1884.

Kitab Al-Aqidah al-Sulaymaniyyah

Setelah kemangkatan Sultan Sir Abdul Samad pada 1898, Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Pemerintah Selangor.

Selepas menaiki takhta, hubungan baik baginda dengan ulama semakin akrab dan menyemarakkan lagi syiar Islam di Selangor.

Antara ulama terbabit, Tengku Mahmud Zuhdi Tengku Abdul Rahman al-Fatani, Kiyai Haji Muhammad Ali, Haji Abdul Ghani Abdul Othman, Sayyid Abdul Aziz al-Shami al-Masri, Sayyid Mahmud Arif al-Bukhari dan ramai lagi.

Jalinan erat itu menyebabkan Sultan Selangor kelima ini terkenal sebagai pemerintah Melayu yang mengasihi ulama, selain sumbangan besar dalam memperkasa Islam.

Baginda mangkat pada 31 Mac 1938 selepas memerintah selama 40 tahun. Sepanjang pemerintahannya, Sultan Sir Alaeddin meninggalkan kesan besar dalam bidang pendidikan agama di Selangor.

Menurut catatan Inspektor Sekolah Selangor, Frank W. Haines, pada 1894, ketika masih bergelar Raja Muda Selangor lagi, terdapat 17 kelas agama dibuka bawah kelolaan Kerajaan Selangor.

Baginda juga giat mendorong rakyat menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Semasa pemerintahan Baginda, antara mata pelajaran diajar di kelas agama ini ialah ibadah, tauhid dan akhlak.

Baginda sedar, menyediakan sekolah sahaja tidak memadai tetapi perlu disertakan sukatan pelajaran yang dilengkapi buku rujukan supaya proses pembelajaran lebih bersistematik.

Atas kesedaran itulah, Baginda mengarang Kitab Pohon Agama untuk dijadikan buku teks rujukan pelajar. Kitab Pohon Agama bukanlah satu-satunya karangan Baginda yang menjadi rujukan di sekolah.

Dua lagi tulisan Baginda ialah Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan dan Nasehat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-Kanak Pelajaran di Dalam Sekolah Melayu – Agama – Negeri Selangor Darul Ehsan.


Pengarang :