SHAH ALAM, 10 OGOS: Tema #KitaSelangor Teguh Bersama sempena sambutan Kemerdekaan peringkat negeri merupakan refleksi rakyat yang sentiasa membangunkan antara satu sama lain.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak kebelakangan ini Selangor kerap diuji dengan pelbagai cabaran namun masih mampu melakar kejayaan.
“Gandingan pelbagai lapisan masyarakat dalam negeri ini telah membuahkan kestabilan, keharmonian serta lonjakan ekonomi yang amat menginspirasikan.
“Dalam bulan bersejarah ini, kita angkat nilai kebersamaan, keberanian serta dinamisme rakyat Selangor untuk diraikan,” katanya di Facebook malam ini.
Pada 31 Julai, ketika majlis Jelajah Selangor Penyayang di Gombak, Amirudin melancarkan kempen Hari Kemerdekaan peringkat negeri sempena sambutannya pada 31 Ogos ini.
Tahun ini Selangor memilih tema #Kita Selangor Teguh Bersama yang membawa maksud kebersamaan dan keberanian rakyat di pelbagai peringkat dalam menghadapi cabaran melanda.