AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 buka industri baharu, percepat sasaran negeri capai 30 peratus KDNK

SHAH ALAM, 10 OGOS: Selangor mampu menyumbang lebih 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dilaksana mengikut kerangkanya dan komprehensif.

Naib pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia berkata pelan pembangunan RS-1 dijangka merangsang ekonomi berikutan penekanan aspek infrastruktur sekali gus mewujudkan industri baharu.

“Langkah ini membuka lebih banyak sumber ekonomi negeri. Dalam masa sama agenda pembangunan ini membantu meningkatkan produktiviti industri sedia ada.

“Jika RS-1 dilaksana dengan jayanya, ia mampu mempercepat sumbangan Selangor kepada KDNK negara kepada 30 peratus malah lebih daripada itu,” kata Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff kepada SelangorKini.

Pensyarah kanan Putra Business School (PBS) itu berkata pelan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang terkandung dalam RS-1 bakal melonjak perolehan ekonomi tambahan.

“Dua projek ini penting kepada pembangunan malah menjadi nafas baharu kepada rakyatnya. SABDA dan IDRISS membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“SABDA turut menjamin keselamatan makanan dan langkah ini tepat masanya kerana kita berdepan isu ini sekarang. Dalam masa sama, ia boleh menjana pendapatan isi rumah lebih tinggi,” katanya.

Tahun lalu Selangor menjadi penyumbang terbesar nilai KDNK dengan hampir 25 peratus iaitu 1/4 daripada keseluruhan ekonomi negara.

Pada 2 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata RS-1 mampu membantu Selangor menyumbang nilai KDNK sebanyak 30 peratus menjelang 2025.

Biarpun dalam sesi Belanjawan 2022 lalu menyasar KDNK 30 peratus pada 2030, Dato’ Seri Amirudin Shari mamklumkan Selangor masih mampu mencapainya menjelang 2025 dengan pelaksanaan RS-1.

Beliau berkata RS-1 mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).


Pengarang :