Timbalan Presiden Parti KEADILAN Rakyat, Rafizi Ramli berucap ketika majlis pelancaran trak Ayuh Malaysia di hadapan restoran Red Chairs Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Yakinkan rakyat KEADILAN mampu menjadi kerajaan lebih baik

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bertanggungjawab untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat bahawa parti itu mampu menjadi kerajaan lebih baik berbanding sebelum ini.

Oleh demikian, Timbalan Presidennya Rafizi Ramli berkata trak jelajah ‘Ayuh Malaysia’ adalah langkah tepat dalam memberi kefahaman kepada rakyat.

“Saya yakin rakyat faham bila diterangkan secara terperinci dan beri amaran bahawa jika tidak bermula sekarang lima tahun akan datang bakal muncul lagi skandal lain seperti kapal tempur pesisir (LCS).

“Menang dan kalah sudah ditetapkan Allah. Setelah berkempen kita serahkan kepada rakyat kerana mereka juga cerdik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran trak itu semalam.

Tambah Rafizi, kaji selidik dilakukan sehingga 31 Julai lalu mendapati 80 peratus rakyat negara ini tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang.

“Kajian ini mendapati hanya 20 peratus sahaja berpuas hati manakala selebihnya tidak kerana tertekan dengan kos sara hidup yang semakin membebankan.

“Dengan adanya jelajah ini, insya-Allah Oktober atau November nanti bila perdana menteri hendak umum pilihan raya kita bersedia dan mampu beri saingan terbaik,” katanya.


Pengarang :