Ribuan peserta perhimpunan Bersih 5.0 di pusat bandar Kuala Lumpur pada 19 November 2016. Foto SHUAIB AYOB/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bersih 2.0: Hukuman Najib, Rosmah simbol kejayaan rakyat tolak rasuah

SHAH ALAM, 2 SEPT: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyifatkan hukuman kes rasuah Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai “kejayaan rakyat menentang rasuah secara besar-besaran.”

Gabungan itu berterima kasih kepada rakyat atas sokongan dan pengorbanan sejak beberapa tahun lepas sehingga pasangan berkenaan diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman.

“Tanggal 23 Ogos dan 1 September akan tercatat dalam sejarah Malaysia untuk selamanya,” menurut gabungan itu dalam kenyataan hari ini.

“Sejarah ini terhasil dengan perjuangan kolektif rakyat Malaysia yang bangkit pada 29 dan 30 Ogos 2015 (perhimpunan Bersih 4) menentang salah guna kuasa dan rasuah yang dipimpin dua individu (tersebut).”

Kenyataan itu dibuat oleh barisan bekas penggerak Bersih 2.0 termasuk Mariah Chin Abdullah, Datuk Dr Toh Kin Woon, Jay Jay Denis dan Mandeep Singh.

“Perjuangan ini adalah perjuangan rakyat Malaysia yang telah turun ke jalan raya untuk tanah air tercinta,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

“Kami tidak dapat menyenaraikan kesemua lebih 500,000 rakyat, tapi kami percaya anda tahu siapa anda walaupun tujuh tahun telah berlalu.

“Pengorbanaan dan jasa anda akan sentiasa dikenang. Malah, kami juga tidak akan melupai seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan berterusan kepada Bersih 2.0.”

Ratusan ribu membanjiri pusat bandar Kuala Lumpur bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil, kerajaan telus, hak membantah, memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Berlangsung secara aman termasuk mengadakan konsert lagu-lagu protes dan politik, perhimpunan aman selama dua hari itu turut menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Bersih 2.0 sekali lagi menganjurkan perhimpunan dengan penyertaan puluhan ribu peserta pada 19 November 2016 apabila skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) semakin terbongkar.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah berjumlah RM42 juta dana SRC International, anak syarikat 1MDB.

Semalam, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah apabila didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


Pengarang :