AGENDANASIONAL

MetMalaysia ramal hujan lebat berterusan, bah besar hujung November

SHAH ALAM, 2 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang membawa kepada bah besar hujung bulan itu.

Ketua pengarahnya berkata peningkatan taburan hujan turut didorong fenomena La Nina yang masih berterusan, dijangka sehingga awal tahun depan, lapor Berita Harian.

“Dalam tempoh ini lazimnya cuaca di seluruh negara baik pada waktu pagi. Manakala sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku di negeri pantai barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (barat dan tengah) dan barat Sabah.

“Risiko untuk berlaku banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutama di kawasan rendah di pantai barat Semenanjung,” kata Muhammad Helmi Abdullah.

Bagaimanapun, katanya, perkara yang dibimbangi ialah luruan monsun atau kemunculan sistem tekanan rendah mulai Disember, menyebabkan hujan berterusan dan risiko banjir.

“Jika berlaku luruan monsun yang kuat dan serentak dengan kemunculan sistem tekanan rendah, maka risiko untuk berlaku banjir besar adalah tinggi,” katanya lagi.

Pada Disember tahun lalu, beberapa kawasan di Selangor terutama Hulu Langat dan Taman Sri Muda terkesan teruk akibat banjir susulan hujan lebat luar biasa selama beberapa hari.


Pengarang :