ADN Permatang Rozana Zainal Abidin berucap ketika program Khas Penyampaian Bantuan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Daerah Kuala Selangor di Dewan Dato’ Pengawa Permatang, Kuala Selangor pada 7 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Permatang sedia 350 baucar beli-belah Deepavali tahun ini

KUALA SELANGOR, 8 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menyediakan sebanyak 350 baucar beli-belah kepada masyarakat India kurang berkemampuan sempena Deepavali tahun ini.

Ahli Dewan Negeri Rozana Zainal Abidin berkata baucar Jom Shopping Deepavali bernilai RM100 akan diagih kepada individu yang layak membabitkan peruntukan sebanyak RM35,000.

“Kita sudah minta ketua kampung dan Ketua Komuniti India (KKI) supaya mencari penerima yang benar-benar layak mendapat baucar ini. Mereka diberi tempoh selama sebulan dari awal bulan ini hingga 30 September untuk berbuat demikian.

“Paling penting individu tersebut belum menerima sebarang bantuan daripada Kerajaan Selangor dan bukan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas),” katanya.

Ditemui selepas penyerahan bantuan kewangan kepada 206 keluarga terjejas ribut di Kuala Selangor semalam, Rozana memaklumkan penerima yang layak akan dibawa membeli barang keperluan di Pasaraya Best Mart, Pasir Penambang sebelum Deepavali.

“Kita akan buat program khusus kepada penerima baucar ini dan mereka boleh membeli-belah bagi persiapan menyambut perayaan terbabit,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :