Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan air laut turut bergelora. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Enam daerah di Selangor diramal hujan lebat hingga 12 tengah hari

SHAH ALAM, 9 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 12 tengah hari ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka di negeri ini melibatkan daerah Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta seluruh Melaka.

Manakala Terengganu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang; Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru).

Situasi di Sarawak pula melibatkan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :