EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail merasmikan program Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Negeri Selangor (Mekar) ketika Tautan Mesra Ramadan di Pangsapuri Rimau Indah, Shah Alam pada 25 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Program ringan beban ekonomi penduduk pangsapuri diperluas bersama PKPS

SHAH ALAM, 12 SEPT: Program Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Selangor (Mekar) bakal diperluaskan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kata EXCO kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata pihaknya akan bermesyuarat mengenai kerjasama itu pada minggu hadapan dan pengumumannya bakal dibuat dalam tempoh terdekat.

“Kita lihat program jualan murah PKPS yang dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Jadi, kita akan bekerjasama dengan PKPS untuk mereka hantar bekalan seperti ayam, telur, minyak dan sebagainya kepada setiap premis program Mekar,” katanya ketika ditemui di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Rodziah berkata, program Mekar yang digerakkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad menerima maklum balas baik daripada penduduk sejak dilancarkan April lalu.

Sebelum ini, empat pangsapuri terpilih menggerakkan projek rintis program Mekar yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah.

Menerusi program berkenaan, sebuah kios atau pasar mini dibina dan menjual pelbagai keperluan pada harga murah sekali gus meringankan beban ekonomi penduduk.

Pangsapuri terlibat ialah Pangsapuri Kos Rendah Taman Dato’ Hormat, Sijangkang; Pangsapuri Kos Rendah Taman Raja Uda, Pandamaran; Pangsapuri Rimau Indah, Kota Kemuning serta Perbadanan Pengurusan Anggerik 26, Batu 3.


Pengarang :