Para penyokong HARAPAN memasang bendera parti pada kempen Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 pada 8 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN bentuk panel teliti permohonan Muda, PSM

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk jawatankuasa khas untuk berunding dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Panel yang dianggotai seorang wakil dari setiap parti komponen HARAPAN akan meneliti permohonan kedua-dua parti berkenaan untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Anggota berkenaan ialah Nik Nazmi Nik Ahmad dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (Upko).

“Hasrat Muda dan PSM bererti parti-parti yang bersedia berpegang pada prinsip dan berada dalam landasan sama dengan HARAPAN dapat dirangkul kekuatan bagi menghadapi PRU15. Pada masa sama, pertembungan kerusi dapat dielakkan.

“Oleh itu, Majlis Presiden hari ini bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan
rundingan dengan pihak Muda dan PSM,” kata gabungan itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko).

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata sebarang keputusan HARAPAN berhubung penyertaan parti baharu menjelang PRU15 perlu dinilai secara cermat bagi mengelakkan pengkhianatan berulang.

Pendirian itu dikaitkan dengan kegagalan hubungan bersama Bersatu yang membawa kepada Langkah Sheraton sekali gus menyebabkan kejatuhan pentadbiran 22 bulan HARAPAN.


Pengarang :