Keadaan di sekitar Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang dinaiki air akibat daripada hujan lebat ketika tinjauan pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hujan lebat diramal landa enam daerah di Selangor, KL hingga 5 petang

SHAH ALAM, 13 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor membabitkan enam daerah sehingga 5 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat serta seluruh Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Manakala negeri lain pula adalah Kedah meliputi Langkawi, Pokok Sena, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Rompin), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Kuala Pilah) serta Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Situasi di Sarawak pula melibatkan Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu), Kapit (Song), Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis, Beluru dan Miri) selain Sabah di Pedalaman (Tambunan), Pantai Barat (Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau, Sandakan (Beluran) dan Kudat (Kota Marudu).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :