Orang ramai mendapatkan pelbagai barangan asas sempena Jualan Ehsan Rakyat di Kampung Kemensah, Gombak pada 15 September 2022. Foto PKM Hulu Kelang
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah PKPS bantu penduduk susah beli bekalan asas

GOMBAK, 15 SEPT: Program Jualan Ehsan Rakyat (JER) memenuhi keperluan penduduk kurang berkemampuan untuk mendapatkan aneka barangan asas dengan harga lebih jimat.

Penduduk Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Dariyah Panwi, 67, berkata dengan wang belanja RM100, dia boleh membeli ayam, daging, ikan, telur dan beras untuk bekalan dua minggu.

“Kalau beli di pasar raya luar, makcik tidak dapat semua barang-barang ini dengan harga tersebut. Biasanya RM100 boleh beli ikan, ayam dan sayur tetapi kali ini termasuk beras serta daging.

“Alhamdulillah, jualan sebegini sangat bagus dan lebih baik sekiranya dibuat setiap minggu,” katanya ditemui di program jualan murah di kampung berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, pesara askar, Hussin Said, 76, berharap program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan lebih kerap terutama di kawasan kampung.

“Harga ditawarkan memang tidak dinafikan jauh berbeza dengan tempat lain dan membantu menjimatkan kos perbelanjaan penduduk.

“Cuma saya harap ia dibuat berterusan, kalau tidak setiap hari mungkin boleh dibuat secara mingguan khususnya di kawasan kampung,” katanya yang menetap di Kampung Melawati.

Suri rumah, Siti Aishah Mat Daud, 33, pula menyifatkan program jualan murah berkenaan memudahkan penduduk tanpa perlu ke pasar raya atau kedai yang berada jauh dari tempat tinggal.

“Terima kasih kepada Kerajaan Selangor terutama PKPS kerana buat jualan seperti ini. Sememangnya ia sangat membantu rakyat susah, bayangkan biasanya saya belanja hampir RM100 untuk ayam, daging dan ikan tetapi hari ini RM50 sahaja.

“Saya juga tidak perlu bersusah-payah ke kedai luar untuk beli barang-barang ini memandangkan semuanya ada di sini dan lebih dekat dengan rumah,” kata ibu tiga anak.

PKPS menganjurkan program JER sejak 6 September hingga 6 Disember dengan menjual makanan asas pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Enam produk utama dibawakan ialah ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 per pek), beras lima kilogram (RM10 per pek) dan minyak masak lima kg (RM25 sebotol).

Pada 30 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan JER yang dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri.


Pengarang :