SHAH ALAM, 12 SEPT: Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diminta menganjurkan program penerangan di kawasan masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU).
Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program perlu dilangsungkan setiap minggu dengan menyeru kepada kebaikan selain menolak perbuatan mungkar serta rasuah.
“Pimpinan kena kerahkan program penerangan, dakwah ini. Pimpinan utama parti antara 50 hingga 60 orang ini kena gerakkan, atur acara supaya boleh jelajah seluruh kawasan.
“Bukan hanya bincang dengan penyokong tegar, ahli parti tetapi terus santuni rakyat dan semua kawasan,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Mega Rapat KEADILAN di Taman Melawati, Gombak malam tadi.
Program turut dihadiri Timbalan Presiden Rafizi Ramli dan Naib Presiden Dato’ Seri Amirudin Shari.
Sebelum ini Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) mengingatkan parti supaya memikirkan arah tuju bagi menawan hati rakyat selain membuktikan kesungguhan perjuangan yang dibawa selain mengembalikan keyakinan rakyat.