Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program ceramah Rapat Mega KEADILAN di Taman Melawati, Gombak pada 11 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pekerja berisiko bakal terima perlindungan percuma

GOMBAK, 12 SEPT: Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) yang ditawarkan percuma kepada seluruh rakyat turut melindungi pekerja dalam sektor berisiko, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebajikan pekerja e-panggilan, pembinaan atau perladangan lebih terjamin menerusi skim yang ditanggung Kerajaan Negeri.

“Ini tanda terima kasih kepada rakyat selain merupakan komitmen Kerajaan Selangor dalam menjaga penduduk. Kita lindungi seluruh rakyat dari usia 30 hari hingga 80 tahun.

“Anak muda yang berdepan risiko kerja dilindungi. Begitu juga dengan suri rumah dan penghuni pusat jagaan. Ini kerana azam Pakatan Harapan untuk pastikan tiada individu tertinggal,” katanya malam tadi.

Berucap dalam Ceramah Mega Rapat KEADILAN di Taman Melawati, Gombak di sini, Naib presiden KEADILAN berkata pentadbirannya akan sentiasa menambah baik skim disediakan supaya kebajikan rakyat lebih terjaga.

Dalam sambutan malam ambang merdeka pada 30 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai enam juta rakyat bakal menerima perlindungan insurans am berkumpulan dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Ditawarkan kepada penduduk dari usia 30 hari ke 80 tahun, inisiatif INSAN bertujuan membantu meringankan beban mereka yang dihimpit masalah.

Jelasnya setiap individu menerima perlindungan RM10,000 untuk kematian, kemalangan dan kecederaan mengikut jenis. Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu boleh didaftar mulai 1 Oktober ini.


Pengarang :