Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat ruang Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pameran Udara Selangor platform perkukuh hubungan pemain industri, pelabur

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 menjadi platform terbaik memperkukuh hubungan antara pemain industri aeroangkasa dan penerbangan bersama pelabur tempatan serta antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar berkata penganjuran pameran oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor Berhad (Invest Berhad) sekali gus merealisasikan aspirasi ‘satu-satunya pertunjukan penerbangan perniagaan di rantau ini’.

“Saya mengalu-alukan semua peserta termasuk pelawat asing dari Singapura, Brazil, Perancis, Switzerland, Republik Czech, Nigeria, United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menjalankan perniagaan di Selangor.

“Terima kasih juga kepada semua peserta dan pelawat kerana mempercayai SAS 2022,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap dalam majlis perasmian pembukaan pameran berkenaan hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Acara pembukaan di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Berlangsung hari ini hingga Sabtu, SAS 2022 disertai 56 syarikat membabitkan 63 pempamer antaranya Dassault Aviation, Systematic Aviation Services Sdn Bhd dan Superb Access Solutions Sdn Bhd.

Edisi pertama SAS pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.


Pengarang :