Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor usaha negeri bantu syarikat aeroangkasa bangkit selepas pandemik

SHAH ALAM, 8 SEPT: Penganjuran Pameran Udara Selangor (SAS) antara usaha Kerajaan Selangor membantu syarikat aeroangkasa di negeri ini mengharungi tempoh mencabar susulan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pameran tahun lalu yang dilaksana mengikut norma baharu menyaksikan banyak penyertaan pemain industri dan bakal pelabur dari dalam dan luar negara.

“Covid-19 memusnahkan industri penerbangan dan aeroangkasa. Menurut pihak berkuasa penerbangan awam antarabangsa, trafik penumpang global menurun 60 peratus pada 2020 bersamaan 2.7 bilion jumlah penumpang berbanding tahun sebelumnya.

“Malah wabak menyebabkan industri aeroangkasa kehilangan hasil sehingga 30 peratus berbanding pendapatan RM16.22 bilion pada 2019.

“Namun kita (sektor aeroangkasa dan penerbangan Selangor) berjaya melepasi titik terburuk itu apabila Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) memudahkan syarikat terbabit menempuh pandemik (penganjuran SAS),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan ketika majlis pembukaan SAS 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC) di sini yang disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (lima, kanan) berkenan bergambar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat,kanan) ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Shah Alam pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Amirudin berkata negara ini menyasarkan untuk menarik pakej baharu bagi pembangunan pesawat termasuk perniagaan dan jet kecil, berdasarkan makluman Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaa (Naico).

“Ini akan memberi manfaat kepada rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia dari segi penyelenggaraan, pembaikan dan operasi serta mewujudkan persaingan sihat di peringkat global,” katanya.

Edisi pertama SAS pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.

Manakala tahun ini, Chang Khim menyasarkan RM700 juta untuk potensi nilai transaksi.


Pengarang :