Petugas membuat persiapan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Taman Medan yang menawarkan barangan asas segar dengan harga murah berbanding pasaran di Masjid Nurul Ehsan, Petaling Jaya pada 14 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Penduduk serbu jualan murah, 600 ayam dan beras habis terjual

PETALING JAYA, 14 SEPT: Sebanyak 600 ekor ayam dan 600 kampit beras lima kilogram (kg) terjual dalam tempoh tiga jam menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di dua lokasi di Taman Medan hari ini.

Wakil rakyatnya Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata beratus papan telur gred B dan minyak masak botol lima kg yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran turut diborong penduduk.

“Hari ini kita anjurkan di pusat komersial Taman Jaya dan pekarangan Masjid Nurul Ehsan, kedua-dua tempat mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

“Ini menunjukkan masyarakat menunggu program seperti ini kerana dapat menjimatkan belanja mereka. Semua barangan dijual murah dari harga pasaran,” katanya ketika ditemui di sini.

Syamsul Firdaus berkata penduduk menunggu jualan murah barangan asas itu sejak 8 pagi meskipun kaunter hanya dibuka sejam selepas itu dan program juga tamat lebih awal.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri menyantuni orang ramai ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Nurul Ehsan, Petaling Jaya pada 14 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain dua lokasi berkenaan, jualan sama diadakan di Dataran Pekan Bagan Terap, padang bola Apartment Palma, Flat 940 Pandan Indah, dan Jalan Technology 3/9 Kota Damansara.

Jualan turut diadakan di Surau Jamiah Meru Tengah, Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda Kapar dan tapak pasar malam Taman Dengkil Jaya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk meneruskan program tersebut di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini.


Pengarang :