Pengunjung merakam gambar kenangan di mercu Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Petik buah, berkayak di Selangor Fruit Valley sempena cuti sekolah

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor Fruit Valley (SFV) di Batang Berjuntai antara lokasi unik di negeri ini yang boleh dikunjungi orang ramai sempena cuti sekolah.

Dato’ Menteri Besar berkata ladang buah-buahan tropika itu memiliki suasana nyaman dan dipenuhi produk semula jadi, sesuai untuk keluarga menikmati alam.

Selain memetik sendiri buah-buahan, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan orang ramai juga boleh melawat taman rusa dan arnab, berkayak serta menaiki bot di Jeti Keranji.

“Kawasan SFV sangat besar dan berbaloi untuk pemandangan. Servis tram juga disediakan, boleh pusing-pusing sekitar sini sambil menghirup udara segar.

“Kalau penat, boleh minum air kelapa di sini yang memang segar. Tag saya bila sampai SFV nanti. Selamat bercuti!” katanya di Facebook hari ini.

SFV berkeluasan 646 hektar diwujudkan bagi menyahut hasrat Kerajaan Selangor untuk memodenkan dan menjana sektor pertanian di negeri ini.

Antara tanaman yang menjadi pilihan adalah belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan dan betik.


Pengarang :