Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Prihatin Rakyat DUN Kota Damansara di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya pada 4 September 2022.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS perkenal produk baharu, laris di program jualan murah

PETALING JAYA, 4 SEPT: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memperkenal beberapa produk baharu di program Jualan Prihatin Rakyat di Kota Damansara hari ini.

Pembantu jualannya berkata biskut tiga perisa mula dipasarkan dua minggu lalu selepas diperkenal di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2022 Ogos lalu.

“Terdapat tiga jenis untuk produk biskut ini iaitu ‘cracker’ istimewa, jagung dan gula. Paling laris terjual ialah jagung kerana ia terhad dan hanya kira-kira 20 peratus sahaja di pasaran luar.

“Bukan itu sahaja, kita juga turut perkenalkan sapuan perisa kaya pandan dan original. Setakat ini, perisa kaya pandan mendapat permintaan tinggi dan paling digemari,” kata Khairi Idris.

Tambah beliau, selain biskut, produk lain yang jualannya turut memberangsangkan ialah beras lima kilogram (5kg), telur gred B dan sayuran seperti bendi dan kailan.

“Kita bawa enam jenis sayuran dan setiapnya 30 bungkus, Alhamdulillah semuanya habis terjual kurang dari dua jam jualan bermula. Selain itu, kita juga bawa sebanyak 22 beras 5kg dan bakinya tiga sahaja,” katanya.

Program bermula 9 pagi tadi di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berlangsung sehingga 12 tengah hari menjual pelbagai barangan asas dengan harga murah berbanding pasaran.

Antaranya ayam dijual RM16 seekor, minyak masak (RM2.50 sekilogram), telur ayam gred B (RM12.50 sepapan), sayur dan buah-buahan (harga dari ladang) serta ikan kembung/selayang (RM10 per pek).

Program jualan murah barangan asas itu dianjurkan bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :