Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda, Klang pada 14 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah diserbu, 300 ayam dan telur habis kurang sejam

KLANG, 14 SEPT: Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda di sini mendapat sambutan apabila 300 ekor ayam habis terjual dalam tempoh kurang sejam.

Barangan lain yang laris dengan jumlah sama ialah telur gred B yang dijual RM10 sepapan dalam program anjuran Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa hari ini.

Wakil Jualannya Dzulnaim Mohd Arif berkata pihaknya membawa 300 unit untuk setiap barangan dan lori jualan diserbu penduduk sejurus dibuka pada 9 pagi.

“Bagi program ini, barang keperluan asas dijual iaitu ayam, ikan, telur, minyak masak, beras dan daging. Alhamdulillah, ayam dan telur mendapat sambutan dan habis kurang sejam pada jelajah di Tok Muda.

“Selain itu, beras lima kilogram (kg) dan minyak masak juga menjadi pilihan ramai penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Wakil Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dzulnaim Mohd Arif. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Tambah Dzulnaim, berikutan sambutan menggalakkan diterima di kebanyakan lokasi, pihaknya akan mencadangkan kepada pengurusan PKPS untuk menambah jumlah barangan pada program jualan selepas ini.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada bekalan kerana setiap hari program dijalankan di sembilan lokasi dan tidak termasuk jualan prihatin rakyat setiap Sabtu dan Ahad,” katanya.

Lori Jelajah Ehsan Rakyat yang membawa barangan keperluan harian pada harga murah menjelajah ke sembilan daerah setiap hari hingga hujung tahun ini.

Menerusi jualan itu, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

Maklumat lokasi lori berkenaan mengikut hari boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS .


Pengarang :