Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (berdiri, tengah) bergambar bersama sukarelawan selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara, Petaling Jaya pada 17 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sambutan Hari Sungai Sedunia berkesan tingkat kesedaran masyarakat jaga sumber air

PETALING JAYA, 17 SEPT: Penganjuran sambutan Hari Sungai Sedunia berkesan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan memelihara sumber air, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia juga mampu mengubah mentaliti masyarakat supaya lebih peka terhadap kesan buruk dihadapi jika melakukan pencemaran sungai .

“Sungai adalah sumber utama bekalan air minum dan kehidupan seluruh dunia sejak dulu lagi, maka sambutan ini dilihat agensi berkaitan pengurusan air di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu acara yang baik.

“Ia selaras usaha PBB di peringkat global bagi program berkaitan air termasuk akses kepada air dan kumbahan yang selamat, peningkatan ekosistem serta sumber air selain mengurangkan risiko bencana seperti banjir dan kemarau,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menekan tombol ketika merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara, Petaling Jaya pada 17 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor di Taman Eko Ara Damansara (TEAD) di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim dan Pengarah JPS Selangor Mohamad Nazif Daud.

Terdahulu, Amirudin dibawa meninjau kolam takungan banjir berkapasiti 2.6 juta meter padu di taman berkenaan selain menanam pokok buluh, melepaskan anak ikan dan melawat gerai pameran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan anak ikan selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Taman Eko Ara Damansara, Petaling Jaya pada 17 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pelbagai program diadakan sepanjang sambutan tersebut antaranya pertandingan mewarna, memancing, fun run, swafoto, kayak dan tanam pokok.

Sambutan Hari Sungai Sedunia tahun ini mengangkat tema ‘Waterways in Our Communities’ mengambil kira tuntutan peranan masyarakat termasuk pemain industri dalam melestarikan sungai dan alam sekitar.

 


Pengarang :