Kampus UiTM Shah Alam. Foto Facebook Universiti Teknologi MARA
AGENDANASIONAL

UiTM wujud portal khas, mudahkan pelajar cari rumah sewa

SHAH ALAM, 20 SEPT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mewujudkan portal rumah sewa bagi membantu mahasiswa mendapatkan kemudahan tersebut.

Institusi itu dalam kenyataan memaklumkan portal https://nr.uitm.edu.my diwujudkan susulan isu mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa terutama di kawasan berdekatan kampus.

“Selain mencari rumah sewa, platform ini juga boleh digunakan untuk pengiklanan rumah sewa oleh tuan rumah.

“Dalam konteks ini, pengurusan bukan residen (NR) UiTM turut membuat tinjauan secara berkala yang berkaitan dengan isu keselamatan, kontrak perjanjian sewa rumah dan kebajikan mahasiswa NR,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, UiTM menjelaskan sebanyak 107,000 tempat di kolej kediaman disediakan dengan 34,000 daripadanya ditawar kepada pelajar baharu Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Manakala sebanyak 52,000 tempat kepada pelajar layak secara merit mengikut polisi penempatan UiTM dan 21,000 tempat yang sedang merayu kolej kediaman.

“Permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Rayuan Kolej yang dibuka mulai 13 September 2022 hingga 23 September 2022 dan keputusan permohonan dikeluarkan mulai 28 September 2022.

“Tawaran kolej kediaman untuk pelajar yang sedang membuat rayuan tertakluk kepada beberapa kriteria iaitu merujuk polisi penempatan UiTM, pelajar semester akhir dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000, pelajar Sabah serta Sarawak dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dan pelajar semester akhir dari keluarga kategori B40,” katanya.

Kenyataan sama menyebut jawatankuasa krisis kolej kediaman sedang meneliti dan menyelesaikan setiap masalah dihadapi dengan cara terbaik selain berharap semua mahasiswa kekal tenang menghadapi situasi sekarang.

“Pihak UiTM akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan tidak mengambil mudah dengan sebarang perkara terutama yang mendatangkan kesulitan kepada mahasiswa serta warganya,” katanya.


Pengarang :