Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
AGENDANASIONAL

Terima suapan, pengarah bahagian fasiliti sebuah universiti awam direman

MELAKA, 20 SEPT: Seorang pengarah bahagian pengurusan fasiliti sebuah universiti awam (UA) di sini direman tujuh hari atas dakwaan menerima suapan.

Lelaki berusia 50an itu tiba dengan berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga di Mahkamah Majistret di sini kira-kira 9 pagi.

Perintah reman bermula hari ini hingga Isnin depan dikeluarkan Majistret Mazana Sinin, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Semalam, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad dilaporkan berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 3 petang, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.

Lelaki itu ditahan atas dakwaan menerima satu suapan harta alih iaitu sebuah kenderaan jenis Honda Accord 2.4 i-vtec yang dianggarkan bernilai RM174,500 daripada seorang pemilik syarikat kontraktor di Klang, Selangor sebagai dorongan untuk memperoleh tender terbuka bernilai RM1,654,350.

– BERNAMA


Pengarang :