ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar beramah mesra dengan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang yang menyertai tayangan khas filem Air Force The Movie anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Setia di panggung wayang pusat beli-belah Citta Mall, Petaling Jaya pada 15 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Seri Setia raikan anggota TUDM sempena Hari Malaysia

SHAH ALAM, 16 SEPT: Ahli Dewan Negeri Seri Setia meraikan 150 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta kakitangan pejabat daerah dan tanah Petaling dengan menonton filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa semalam.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata program berlangsung di GSC Citta Mall yang turut menjemput Ahli Majlis merupakan simbolik sambutan Hari Malaysia hari ini.

“Sempena hari bersejarah esok (hari ini), kita mahu hargai anggota TUDM yang banyak berjasa kepada negara. Tambahan lagi pangkalan udara Subang juga berada dalam pentadbiran Seri Setia.

“Kita ambil peluang meraikan mereka terutama ketika filem ini sedang ditayangkan. Unit beruniform ini memainkan peranan penting dalam negara,” katanya ketika ditemui.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar (dua, kanan) menyerahkan cenderahati kepada Pelakon Nas-T (empat, kiri) selepas tayangan filem Air Force The Movie anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Setia di panggung wayang pusat beli-belah Citta Mall, Petaling Jaya pada 15 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir Komander Pangkalan Udara Subang Brig Jen Omar Damawi dan Pegawai Daerah Petaling Mohd Jusni Hashim selain barisan pelakon utama Nas-t serta Sara Ali.

Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu mengisahkan tentang anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) diketuai Kapten Adib dan mentornya Mejar Adnan, yang bertugas dalam misi bantuan kemanusiaan di Namburi, sebuah negara bergolak.

Filem ditayangkan sejak 25 Ogos itu berjaya mencatat kutipan lebih RM28 juta dalam tempoh 21 hari tayangan.


Pengarang :